Oleh: Nicko Pandawa
Tsaqofatuna.id – Menurut sumber arkib Aceh yang tersimpan di Istanbul, permintaan Sultan ‘Alauddin Riayat Syah al-Qahhar dikabulkan Sultan Salim II, selaku Khalifah Uthmaniyah pengganti Sulaiman al-Qanuni, dengan mengirim Koca Sinan Pasa, gabenor Uthmaniyah di Mesir, ke bandar Aceh. Koca Sinan Pasa kemudian “mengakui sultan di setiap negeri (di Pulau Sumatera) atas kesultanannya terhadap penduduk negeri itu” (al-Marhûm Hadhrat al-Wazîr al-A’zham Sinân Bâsyâ qarrara sulthân kulla iqlîmin ‘alâ sulthânatihi fî ahl iqlîmihi).
Hasil akhirnya, menurut sumber Aceh ini, setiap negeri di Pulau Sumatera memiliki seorang gabenor yang berada di bawah pihak berkuasa Uthmaniyah (wa li kulli iqlîmin wâliyun man tahta ad-Dawlah al-‘Aliyyah al-‘Utsmaniyyah). Setiap gabenor itu digelar sultan dan raja (sulthân[an] wa malik[an]) dengan cara mereka masing-masing (bi hasabi uslûbihim).[1]
Pernyataan-pernyataan tersebut memberi kita salah satu model pentahbisan seorang sultan di negeri Jawi yang dikukuhkan oleh pihak berkuasa tertinggi Dunia Islam, Khilafah, entah secara langsung mahupun diwakilkan. Oleh itu, bagaimana dengan Sulawesi?
Sebelum para pemimpin Gowa dan Tallo’ diislamkan dan diberi gelaran sultan, rupa-rupanya satu kekuasaan di hujung Sulawesi Tenggara sudah mendahului mereka dalam kaedah pengangkatan sultan oleh Khalifah. Di negeri Wolio alias Buton, seorang ulama yang paling dikenang jasanya di pulau ini, Syaikh ‘Abdul Wahid bin Syarif Sulayman, dikatakan datang dari Pattani menuju Buton pada 1511. Beliau berdakwah di sana hingga berjaya memikat hati banyak orang termasuk Raja Buton ke-6 yang berkuasa, Raja Mulae. Beberapa tahun setelah Syaikh ‘Abdul Wahid menguatkan Islam di Buton, Raja Mulae menginginkan perubahan bentuk tata negara kerajaannya menjadi sebuah kesultanan. Untuk itu, Raja Mulae meminta Syaikh ‘Abdul Wahid pergi ke Istanbul demi mendapat restu Khalifah Uthmaniyah. Syaikh dari Pattani tersebut akhirnya berangkat pada 1523 dan terus berada di negeri Rom selama 15 tahun. Ketika dia kembali semula ke Buton, ternyata Raja Mulae sudah wafat dan kekuasaan kini dipegang menantunya, La Kilaponto (berkuasa 1538-1584). Akhirnya, berbekal surat pengesahan dari Istanbul, Syaikh ‘Abdul Wahid melantik La Kilaponto dengan gelaran Sultan Muhammad Qa’imuddin, “yang menegakkan agama”.[2]
Bagaimana dengan Trio Dato’ Minangkabau yang mengislamkan Sulawesi Selatan? Siapa yang menghantar mereka? Bagaimana mereka boleh ada kuasa untuk melantik Dato’ Luwu’, Karaeng Tallo’ dan Gowa menjadi sultan? Apakah mereka ada kaitan dengan Khalifah Uthmaniyah yang berhak melantik penguasa-penguasa Muslim–sebagaimana konsep hierarki al-Ghazali–sebagai “sultan”?
Jalur Aceh
Sumber-sumber Lontara’ dengan terang menyebutkan bahawa asal-usul Trio Dato’ adalah dari Koto Tangah di Minangkabau (Isilang Marangkaboya ampasadaki Kota Tanga arenna).[3]
Sejak zaman Sultan ‘Alauddin Riayat Syah al-Qahhar di abad ke-16, daerah Minangkabau sudah berada di bawah kuasa Aceh dengan penempatan salah seorang puteranya, Tuanku Mughal, sebagai raja muda (wakil sultan) Aceh di Pariaman.[4]
Ketika Syaikh ‘Abdul Ma’mur, Sulayman dan ‘Abdul Jawad pergi ke Sulawesi pada tahun 1012/1603, yang menjadi penguasa Aceh adalah Sultan ‘Alauddin bin Firman Syah. Beliau terkenal dengan julukan Sultan Sayyid al-Mukammil (berkuasa 1589-1604).
Sebelum Sultan ‘Alauddin Sayyid al-Mukammil naik takhta pada 1589, Kesultanan Aceh menikmati hubungan hangat dengan Khilafah Uthmaniyah berkat usaha diplomasi yang diusahakan oleh Sultan ‘Alauddin Riayat Syah al-Qahhar. Setelah beliau wafat pada 1571, takhta sultan diberi kepada anak keduanya, Husain. Telah diduga kuat bahawa Husain inilah yang sebelumnya dikirim Sultan al-Qahhar ke Istanbul membawa surat ayahnya untuk diberikan kepada Khalifah.[5]
Husain ditabalkan dengan gelaran Sultan ‘Ali Riayat Syah (berkuasa 1571-1579), namun masa pemerintahannya menyaksikan perseteruan dia sendiri dengan saudara-saudaranya. Sepanjang tahun 1579, khalayak Aceh melihat empat sultan yang berganti-gantian menduduki takhta. Barulah konflik dalaman tersebut dapat diselesaikan ketika Manshur Syah, seorang Putera Kesultanan Perak (Malaysia), diangkat sebagai Sultan Aceh dengan gelaran Sultan ‘Alauddin Manshur Syah (berkuasa 1579-1586). Bustan as-Salathin menggelarnya sebagai Sultan ‘Ala’uddin Perak, anak Sultan Ahmad.
Setelah Kesultanan Aceh menyerbu Perak, janda dari Sultan Ahmad dengan anaknya, Manshur Syah, dibawa ke Aceh. Ketika dewasa, sang anak mengahwini salah seorang puteri Sultan Aceh.[6]
Pada masa Sultan ‘Ala’uddin Manshur Syah Perak inilah, sampai ke masa Sultan ‘Ala’uddin Sayyid al-Mukammil nanti, kita dapat melihat pola yang terhubung antara para ulama pengislam Sulawesi Selatan (Trio Dato’ Minangkabau), Sultan Aceh dan Khalifah Uthmaniyah.
Era Sultan Manshur Syah Perak dipuji oleh sumber-sumber sejarah sebagai satu tempoh yang cukup stabil. Sosok Sultan dikenal sebagai peribadi yang soleh, bertakwa dan adil. Dia memerintah rakyat Aceh untuk mentaati syariah Islam sepenuh hati. Para hulubalang istana bahkan diwajibkan untuk memakai pakaian-pakaian Arab. Banyak ulama dari wilayah Uthmaniyah seperti Mekah dan Yaman datang ke Aceh. Di antaranya Syaikh Abu’l-Khayr bin Hajar al-Makki yang merupakan ahli tasawuf dan fikh, juga Syaikh Muhammad al-Yamani yang pandai ilmu ushul fikh. Begitu juga Syaikh Nuruddin ar-Raniri. Ulama dari kota Rander di India ini datang pertama kali ke Aceh pada masa Sultan Manshur Syah Perak. Lebih menarik lagi, kita mendapat keterangan dari pihak Portugis bahawa El Rey do Achem Rayamançor (yakni, Raja Manshur/Sultan Manshur Syah Perak) sentiasa ditemani conselho de Turcos, “penasihat dari Turkiye”, yakni orang Uthmaniyah. Bahkan sumber Portugis yang kita rujuk di sini melukiskan sebuah pertempuran hebat di Selat Melaka pada 6 Februari 1583 antara Portugis dan armada Aceh yang dilengkapi kapal-kapal perang Uthmaniyah.[7] [Bersambung]
Catatan Kaki:
[1] BOA, .HR. 73/3511. BOA, HR.SYS. 564/5. Dalam Ismail Hakki Kadi dan ACS. Peacock, Ottoman-Southeast Asian Relation, Jilid I, 98, 103.
[2] Susanto Zuhdi, dkk, Kerajaan Tradisional Sulawesi Tenggara: Kesultanan Buton, (Jakarta: Depdikbud RI, 1996), 17-18, 22.
[3] William P. Cummings, A Chain of Kings, 75.
[4] Amirul Hadi, Islam and State in Sumatra, 29.
[5] Jorge Santos Alves, “From Istanbul with Love: Rumours, Conspiracies, and Commercial Competition in Aceh-Ottoman Relations, 1550s to 1570s”, dalam ACS. Peacock dan Annabel Teh Gallop, From Anatolia to Aceh, 54.
[6] Teuku Iskandar, “Aceh as a Crucible of Muslim-Malay Literature”, dalam Michael Feener, dkk, Mapping the Acehnese Past, 52.
[7] Sanjay Subrahmanyam, “Pulverized in Aceh: On Luis Monteiro Coutinho and His ‘Martyrdom”, Archipel, Vol. 78 (2009), 43-46, 49.
Sumber: